BLOG INI TELAH DIPINDAHKAN KE

www.anakmuar.com
   

<< October 2004 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02
03 04 05 06 07 08 09
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30
31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed

Oct 20, 2004
SEJARAH TEMPATAN MUAR

SEJARAH TEMPATAN MUAR

KOLAM AIR PANAS SUNGAI GERSIK

(Sumber: Laman Web Kerajaan Negeri Johor)

KAMPONG SUNGAI GERSIK (RESIK)
KAWASAN (2) MUKIM SUNGAI BALANG
DAERAH MUAR, JOHOR DARUL TA'ZIM

LOKASI DAN KEDUDUKAN GEOGRAFI KG. KAMPONG SUNGAI RESIK (GERSIK)

Kampong Resik adalah sebuah perkampongan tradisi di dalam Mukim Sungai Balang, Daerah Muar dan terletak lebih kurang 20 kilometer ke tenggara Bandar Maharani ( Muar ). Pekan yang paling hampir dengan kampong ini ialah Pekan Semerah, Daerah Batu Pahat. Ini disebabkan fakta bahawa kedudukan Kampong Resik teletak di pinggir sempadan Daerah Muar dengan Batu Pahat. Secara amnya, Kampong Resik ini berada dalam kawasan tanah pamah yang subur dimana kegunaan tanahnya rata rata berasaskan pertanian.

SEJARAH KAMPUNG SUNGAI RESIK (GERSIK)

Mengikut sejarah yang dapat di kesan dari pendaftaran tanah dan cerita orang tua-tua pembukaan  KampUng Resik ini bermula pada tahun 1883 dan berakhir pada tahun 1960 dimana ketika itu semua hutan telah habis diterokai dan menjadi kawasan pertanian. Peneroka asal kampong ini ialah Orang Kaya Ali dan para pengikutnya dari Muar yang menyusuri pantai Selat Melaka setelah terlibat di dalam pertengkaran keluarga.

Nama Sungai Resik ini adalah mengambil sempena wujudnya bekas laluan air ( alur ) seperti anak sungai yang terdapat di kawasan kampung ini, menakala perkataan Resik pula adalah istilah Jawa yang bermaksud bersih.  Ini kerana alur sungai itu berkeadaan bersih dari semak samun dan airnya pula mengalir dengan baik. Itulah sebabnya sehingga kini, bahagian laut, jalan dan paritnya tidak lurus, malah bengkang bengkuk seperti sungai.

Peneroka Kampung Sungai Resik sentiasa bertambah dari masa ke semasa beransur-ansur hinggalah abad ke 19 dimana terbinanya jalan keretapi dari Sungai Pulai, Muar ke Semerah. Generasi mudanya kian mencapai pembangunan yang pesat, terutamanya dengan penemuan sebuah kawasan yang penuh lagenda (Kolam Air Panas) oleh Tuan Haji Abd Rahman Getu pada tahun 1911, dimana kawasan ini telah menjadi destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri hingga kini.

KOLAM AIR PANAS SUNGAI RESIK (GERSIK)

Kolam Air Panas Sungai Resik adalah satu-satunya kolam dalam Daerah Muar,  Negeri Johor Darul Ta'zim, di mana airnya sentiasa panas  secara semulajadi.

Kolam ini mula ditemui pada tahun 1911 oleh Tuan Hj. Abd. Rahman bin Hj. Harshad atau lebih dikenali dengan nama Hj. Abd. Rahman Getu. Ketika itu Kg. Sungai  Resik telah diterokai sejauh 2.5 kilometer ke pendalaman dan kawasan kolam air panas ini masih lagi hutan belantara. Pada suatu hari Hj. Abd. Rahman telah masuk ke hutan untuk mencari linau dan anak kayu untuk membuat pondoknya. Menjelang tengahari ia ternampak sesuatu yang aneh menyerupai tasek kecil berukuran lintang kira-kira 10 kaki, dikelilingi oleh lembah berlumpur serta semak. Airnya menggelegak dan berasap mengalir ke kawasan di sekitarnya.

Hj. Abd. Rahman merasa seram dan takut lalu ia terus meninggalkan tempat itu tanpa mengambil kayu yang telah dikumpulkannya. Malangnya ia telah sesat sehingga ke senja barulah berjumpa jalan keluar. Apabila sampai ke rumah ia lantas menceritakan kisah penemuannya itu kepada penduduk kampung. Anehnya, kolam yang menjadi cerita hangat dikalangan penduduk kampung itu tidak dapat ditemui bila dicari.

Kolam air panas itu hanya di temui semula kira-kira tiga bulan kemudiannya, apabila Hj. Abd. Rahman dan rakannya  bernama Rajikan pergi ke hutan mencari kayu dan rotan. Mereka terus merintis jalan dan membuat tanda pada pokok-pokok sampai ke jalan keluar.

Keluasan asal kolam termasuk kawasan sekelilingnya ialah 1 ekar 25 pol dan pada tahun 1997 telah dibesarkan kepada 3 ekar 2 rood 15 pol  bagi tujuan membina dan menyiapkan taman rekreasi termasuk kemudahan awam seperti surau, pentas, pondok rehat, jalan, lanskap, pintu gerbang, pagar dan parit, pada tahun 1999 sebuah chalet telah dibina. Jauhnya kolam ini dari jalan besar ialah 4 kilometer Ke dalam dan pekan yang paling hampir ialah Pekan Semerah lebih kurang 12 kilometer.

PERISTIWA GANJIL YANG PERNAH BERLAKU DI KOLAM AIR PANAS SUNGAI RESIK

Beberapa peristiwa yang ganjil dan aneh lagi menyeramkan pada sesiapa yang pernah mengalaminya:

· Selepas kolam air panas ditemui banyak penduduk tempatan dan sekitarnya berkunjung untuk melihat keadaan sebenar. Terdapat diantara pengunjong yang telah bersua ular sebesar batang kelapa dan panjangnya kira-kira 30 meter dan ini bukan sekali malah beberapa kali berjumpa ular sebesar itu bergantung di pokok besar ditepi kolam itu.

· Pernah berlaku kepada Encik Palil bin Ab. Rahman yang telah bersua dengan seekor ular besar hingga tidak tahu dimana kepala dan dimana ekornya, seolah-olah sebatang kayu besar berukuran tinggi melintang 3.5 kaki berwarna hitam berkilat. Beliau telah lari meninggalkan tempat itu.

· Pernah beberapa orang tempatan bersua dengan seorang agak sederhana tuanya memakai kain dan berbaju kut berbual mesra hingga lupa dari mana datangnya, tetapi dengan sekelip mata orang tua tersebut hilang dan barulah disedari yang ianya bukan manusia biasa. Banyak lagi perkara aneh berlaku dan kebanyakannya pada waktu senja dan malam.

Peristiwa-peristiwa di atas berlaku diantara tahun 1915 hingga 1930 an.

· Pada tahun 1943 ketika dalam pemerintah Jepun seorang pendudok bernama En. Manon bin Hj. Hassan sekarang menetap di Simpang Rengam telah mengadakan majlis membaca marhaban dan potong jambul, dimana rumahnya berdepan dengan kolam air panas. Semasa marbahan dan potong jambul dijalankan dengan tidak semena-mena di kawasan kolam air panas telah riuh dan terang dengan sinaran lampu yang tidak diketahui bilangannya dan bersama sama melaungkan marhaban. Selepas itu orang ramai bergegas ke kolam air panas dan apabila sampai disitu tida terdapat apa-apa pun, hanya bunyi jengkrik dalam semak yang gelap.

· Keadaan pada keganjilan yang nampak hingga sekarang iaitu kawasan kolam tanah tebingnya tinggi dari yang lain dan warna tanahnya tidak serupa. Airnya putih jernih sedangkan kawasan sekelilingnya airnya berwarna merah (air tanah gambut). Kolam air panas ini airnya mengalir keluar tidak berhenti samada musim kemarau atau musim hujan.

RENUNGAN

Semua cerita yang disampaikan adalah yang sebenarnya daripada Allahyarham Hj. Abd. Rahman bin Haji Arsad dan rakannya Allahyarham Rajikan semasa hayatnya dahulu.

Allahyarham Rajikan meninggal dunia pada tahun 1969 semasa koprantasi di Kampung Sungai Gersik Darat dan Allahyarham Hj. Abd. Rahman meninggal dunia pada tahun 1971 di No 1, Kampung Parit, Sungai Balang Kecil.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan  sejarah Kolam Ari Panas Sungai Gersik, anda boleh bertanya kepada penduduk tempatan apabila bekunjung ke tempat ini dan saksikan sendiri keajaibannya.

(Sumber: Laman Web Kerajaan Negeri Johor)


PARIT JAMIL

Dipetik dari Laman Web Srijamil (http://www.geocities.com/Athens/Ithaca/3739/sejarahtempatan.html)

Asal Usul Kampung Parit Jamil letaknya kira-kira 10 batu jauhnya dari bandar Muar dan 21 batu dari bandar Batu Pahat. Kampung ini telah dibuka pada akhir abad ke-19, iaitu pada masa Sultan Abu Bakar memerintah di Johor. Dipercayai Kampung Parit Jamil telah di buka oleh Tuan Haji Taib. Beliau dikatakan berasal dari Pulau Jawa, Indonesia, dan telah datang ke Parit Jawa, Muar, pada akhir abad ke-19. Di Parit Jawa, beliau telah tinggal bersama-sama Penghulu Jabar, iaitu penghulu yang menguasai kawasan Parit Jawa ketika itu. Haji Taib, seorang mempunyai bakat kepimpinan dan seorang boleh diharapkan, banyak membantu kerja-kerja Penghulu Jabar. Oleh itu, Penghulu Jabar telah melantik Haji Taib sebagai menteri kepada beliau.

Dengan galakan daripada saudara-maranya yang datang dari Jawa, Haji Taib telah meninggalkan Kampung Parit Jawa. Beliau bersama-sama pengikutnya telah membuka Kampung Parit Jamil yang terletak kira-kira satu batu dari Parit Jawa. Di antara saudara-maranya itu, Haji Arshad (ipar beliau) adalah orang yang memainkan peranan penting dalam pembukaan Kampung Parit Jamil.

Pembukaan Kampung Parit Jamil oleh Haji Taib telah dibantah oleh Penghulu Jabar dengan alasan beliau mempunyai kewibawaan atas Kampung Parit Jamil juga. Penghulu Jabar mendakwa bahawa kawasan jagaan beliau adalah meliputi Kampung Parit Jamil hingga ke Kampung Parit Penyengat, iaitu setengah batu dari Kampung Parit dan satu setengah batu dari Kampung Parit Jawa. Keberanian Haji Taib dalam hal ini adalah disebabkan beliau telah mempunyai pengikut-pengikutnya yang tersendiri. Peristiwa ini memberikan satu gambaran tentang bagaimana sesebuah kampung atau petempatan biasanya dibuka, iaitu oleh seorang ketua dengan pengikut-pengikut tertentu yang biasanya merupakan saudara-maranya.

Perselisihan di antara Penghulu Jabar dengan Haji Taib tidaklah membawa kepada satu perbalahan. Sungguhpun demikian, Penghulu Jabar telah bertindak dengan membawa hal itu kepada perhatian Sultan Johor. Sultan Johor ketika itu ialah Sultan Abu Bakar. Baginda telah memanggil kedua-dua orang itu ke istana di Johor Bahru. Kes mereka telah dibicarakan oleh baginda selama tiga kali. Sebelum sempat baginda membuat keputusan muktamat, Penghulu Jabar telah meninggal dunia. Kematian beliau adalah disebabkan terjatuhnya sewaktu menunggang kuda semasa bersiar-siar pada suatu petang. Dengan kematian Penghulu Jabar, pembukaan Kampung Parit Jamil oleh Haji Taib tidak lagi mendapat bantahan dari sesiapa lagi. Memandangkan hakikat bahawa Haji Taib adalah seorang yang berkebolehan dan mempunyai pengikutnya yang ramai, baginda telah berkenan melantik Haji Taib sebagai penghulu Kampung Parit Jamil . Ketika itu kewibawaan Haji Taib meliputi kawasan dari Kampung Parit Nipah ke Kampung Parit Penyengat , iaitu kira- kira dua batu persegi luasnya .

Pembukaan Kampung Parit Jamil adalah bermula dari pantai ke arah kawasan pendalaman . Hal ini jelas dari kesan-kesan sejarah yang terdapat hingga sekarang, di antaranya terdapat tanah perkuburan orang- orang Islam yang tidak berapa jauh dari pantai (kira-kira setengah batu). Selain daripada itu, terdapat bekas tapak bangunan sebuah masjid. Kesan-kesan itu menunjukkan di sekitar kawasan tersebut pernah wujud perkampungan orang Melayu . Tetapi pada masa sekarang ini, di sekitar kawasan itu hanya terdapat kebun- kebun kelapa dan getah sahaja. Adanya peninggalan-peninggalan itu ialah kerana penduduk kampung dahulu telah berpindah ke kawasan yang agak jauh sedikit ke pendalaman. Pada masa sekarang, tapak Kampung Parit Jamil adalah lebih kurang di sepanjang jalanraya dari Muar ke Batu Pahat, jauhnya dari pantai adalah kira-kira satu batu. Sebuah masjid dan tanah perkuburan Islam berada di tepi jalanraya. Pekerjaan penduduk kampung itu adalah menangkap ikan, menanam padi, bercucuk tanam dan sebagainya. Tanaman yang mereka usahakan adalah bersifat secukup hidup.

Berhubung dengan nama Kampung Parit Jamil itu, tidak terdapat satu keterangan yang bulat. Mengikut  Encik Md. Yassin, nama Kampung Parit Jamil itu adalah berasal daripada nama seorang yang pernah bekerja dengan Haji Taib Jamil, dikatakan, telah memainkan peranan penting membuka kampung dengan menggali parit-parit.  Memandangkan jasa-jasa beliau itu , Haji Taib telah menamakan Kampung Parit Jamil itu bagi memperingati jasa baik orang itu . Yang agak menghairankan ialah perbezaan nama 'Parit Jamil' itu dengan nama kampung-kampung lain termasuk di dalam Kampung Parit Jamil sebagai induk . Nama kampung– kampung lain adalah seperti Kampung Parit Nipah, Parit Tengah, Parit Kangkung, Parit Tunggul dan Parit Penyengat. Kesemua nama itu adalah berasal daripada perkataan dalam bahasa Melayu 'Jamil' pula berasal daripada bahasa Arab.

Menurut seorang keturunan Haji Taib sendiri, penerangan Encik Md. Yassin itu kurang meyakinkan kerana beliau sendiri tidak pernah mendengar adanya orang yang bernama 'Jamil'.  Menurut pendapat beliau seterusnya, nama Kampung Parit Jamil itu adalah berasal daripada perkataan Arab, iaitu Jamil bererti 'cantik'. Nama itu mungkin diberi oleh orang-orang Arab yang datang berniaga di kampung tersebut kerana memandangkan keindahan dan eloknya kampung tersebut.

* Dipetik dari Laman Web Srijamil (http://www.geocities.com/Athens/Ithaca/3739/sejarahtempatan.html)


JALAN DATO' HAJI KOSAI

LAGENDA KEHEBATAN 'ORANG TUJUH'

Oleh HAMDAN RAJA ABDULLAH (Utusan Malaysia)

TIDAK ramai yang mengetahui bahawa terdapat sebatang jalan di Muar iaitu Jalan Datuk Haji Kosai, dinamakan selepas ahli-ahli Orang Tujuh, membantah pembentukan Malayan Union di Johor pada tahun 1946.

Gambar: PASANGAN BERKUASA. Gambar Keluarga Lama Kosai dan Zaharah. image057.jpg

Kumpulan tersebut amat dihormati oleh orang melayu kerana keberanian mereka menentang British. Orang Tujuh terdiri daripada bekas Gabenor Pulau Pinang Tun Dr Awang Hassan, bapa Tun Dr Ismail iaitu Datuk Abdul Rahman Mohd Yassin, abangnya Datuk Sulaiman Abdul Rahman, bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Hassan Yunos dan Datuk Kosai Mohd  Salleh.

Mereka kemudian disertai oleh Datuk Onn Jaafar, Tun Saadon Jubir, Tan Sri Syed Nasir Ismail and Tun Sulaiman Ninam Shah, sekadar menamakan beberapa tokoh.

Ia kemudiannya berkembang menjadi gerakan kebangsaan, termasuk Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Datuk Senu Abdul Rahman, and Datuk Abdul Rahman Talib, membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar.

Kini, pertubuhan ini dikenali sebagai, UMNO yang merupakan singkatan bahasa Inggeris.

Kosai, dilahirkan di Parit Raja, Muar, dalam tahun 1914, merupakan anak imam kampung iaitu Mohd Salleh Mohd Said.

Beliau kemudiannya belajar di Sekolah Tinggi Muar dan English College di Johor Baru sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perhutanan di Oxford University in England dari tahun 1936 hingga 1940.

Beliau merupakan orang melayu pertama yang menuntut dalam bidang perhutanan di Oxford dan merupakan orang pertama yang menerima biasiswa daripada Sultan Ibrahim, kata anaknya, Dr Wahab, Profesor Physiologist Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selepas beliau kembali pada tahun1940, British melantik beliau sebagai Pegawai Perhutanan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Semasa di England, Kosai telah berjumpa dengan ramai pemimpin melayu yang kemudiannya bersatu menentang pembentukan Malayan Union. Beliau menjadi nasionalis sekembalinya ke negara.

Menurut Dr Wahab, Kosai merupakan salah seorang yang menghalang Sultan Ibrahim menandatangani MacMichael Treaty.

Apabila British mengetahui perkara tersebut, beliau digantung tugas.

Hj. Josai kembali bertugas sebagai Pegawai Perhutanan sehingga beliau bertanding pada Pilihanraya 1959 di kerusi negeri Parit Bakar.

Kosai, yang kemudiannya menjadi anggota Exco negeri Johor berkaitan pertanian telah membangunkan kawasan luar bandar termasuk Parit Bakar dan kawasan sekitarnya.

Kosai telah mengubah kawasan hutan Parit Bakar yang tidak membangun kepada tanah ladang. Beliau membina jalan dan parit.

Beliau menjalinkan hubungan bagi pihak negeri Johor perbagai negara lain, termasuk United States, yang menganugerahkan Kunci Bandaraya Francisco pada tahun 1963.

Walaupun sibuk dengan tugas, Kosai tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap sembilan anak beliau.

Beliau juga amat mengambil berat kemudahan pendidikan di sekolah.

Sementara Tun Dr Ismail, Tun Saadon, Datuk Onn dan lain-lain menempah nama di peringkat kebangsaan, Kosai kekal di Dewan Negeri Johor hingga beliau meninggal pada 1968.

Setahun kemudian, balu Kosais , Datin Zaharah Abdul Majid, memenangi Pilihanraya Umum 1969 bagi kerusi negeri Parit Jawa.

Dalam tahun 1974, beliau bertanding di Seri Menanti (kini Sungai Balang) dan memenangi kerusi negeri, dan dalam tahun 1979, beliau memenangi kerusi Semerah, Batu Pahat.

Datin Zaharah meninggal dunia pada tahun 1982 selepas berkhidmat sebagai wakil negeri..

Dalam tahun 1973, penduduk kawasan baru sekitar Parit Bakar meminta Menteri Besar Tan Sri Othman Saat menukar sebuah jalan yang kotor iaitu Jalan Kereta Lembu kepada Jalan Dato Haji Kosai.

Selepas penukaran nama itu, jalan yang kotor itu telah ditar dan menjadi jalan pintas antara Bakri dan Parit Bakar tanpa memasuki Bandar Maharani.

Daripada sembilan anak, yang sulong iaitu Mansor, merupakan pemilik ladang. Mereka yang lain ialah Fuad (bersara dari MAS), Dr Rehah (Doktor swasta di Kota Baru), Kamariah (surirumah), Najad (bekas Personnel Manager MIDF), Datin Kalthom (berkahwin dengan Pengerusi UDA Datuk Zihin Hasan), Dr Wahab, Yahya (Pegawai Tentera), and Dr Robia (Ahli Parlimen).

Sejarah berulang bagi keluarga Kosai apabila anaknya Dr.Robia memenangi dengan mudah kerusi Parlimen dalam tahun 1999.

Kini Dr.Robia merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Koperasi.

Gambar: BANGGA DENGAN AYAH...Kalthom (kiri) and Dr Wahab and Mansor bergambar dengan papan tanda Jalan Haji Kosai. image058.jpg

(Lagenda Kehebatan 'Orang Tujuh' Jalan Dato' Haji Kosai merupakan petikan artikel oleh Hamdan Raja Abdullah dari Utusan Malaysia)

PARIT BAKAR

ORANG KAYA ABU BAKAR BIN BEDU

Gambar BERPENGARUH: Orang Kaya Abu Bakar bin Bedu image056.jpg

Orangkaya Abu Bakar bin Bedu telah dilahirkan di Padang pada 10 Oktober 1852. Beliau telah membuka kawasan Belantapuri (Pekan Parit Bakar sempena nama beliau) Muar. Beliau meninggal dunia pada 17 April 1917.

Pekan Parit Bakar yang dibukanya pernah menjadi pengeluar perabot utama Malaysia di era 90an (kini kebanyakan kilang perabot di Parit Bakar telah berpindah ke kawasan perindustrian Bukit Bakri, Pagoh, Tg.Agas dan Parit Jamil).


PARIT JAWA

Dalam pentadbiran Muar, Parit Jawa adalah daerah yang termasuk dalam jajahan Muar. Dalam tahun 1886, bagi Muar dan Kesang diletakkan dibawah tadbiran Residen Ungku Sulaiman Daud, daerah Parit Jawa pula ditadbirkan oleh Peolong Residen. Parit Jawa terkenal dengan pengeluaran kelapa dan pinang.

Gambar: Parit Jawa: Pengkalan nelayan image055.jpg

PADANG

Padang terletak di bahagian pantai barat Daerah Muar (sila lihat peta di bawah) mempunyai bentuk geografinya yang luas, rendah, rata dan tidak berbukit-bukit. Ia merupakan sebuah jajahan di dalam negeri Johor.

Gambar Padang: Keluasan berubah-ubah mengikut masa image028.jpg

Luas Padang ialah kira-kira 13 km dengan lebar 6 km iaitu dari Parit Perupuk hingga ke Parit Jawa. Walau bagaimanapun, panjang jajahan Padang ini berubah-ubah dari masa ke semasa:
- Zaman Belanda (1641-1825) Keluasan Padang hanya dari Parit Perupuk hingga ke Parit Pinang Seribu sahaja.
- Zaman Sultan Abu Bakar (1863-1895) Keluasan Padang sehingga ke Sungai Balang.


Posted at 10:56 pm by anakmuar

erisha hani
September 23, 2012   05:13 PM PDT
 
bestnyee..cerite-cerita tentang parit pinang seribu..syabas diucapkan
Name
September 22, 2011   03:03 AM PDT
 
sungai kelat xder searah ker?
wakis
June 7, 2010   04:10 PM PDT
 
seronokkan kwn2
nurul huda hj lahmak
April 14, 2010   05:38 PM PDT
 
saya bangga gler jadi orang muar
hidup muar!!!!!!!!!!
AZFAR FIRDAUS
April 10, 2010   09:10 PM PDT
 
SAYA BDK DAJAH 6 DOAKAN MUAR AKAN MAJU MCM KL. ASALAMUALAIKUM SAYA NK BCA YG SETERUSNYA.ByE2
AZFAR FIRDAUS
April 10, 2010   09:10 PM PDT
 
SAYA BDK DAJAH 6 DOAKAN MUAR AKAN MAJU MCM KL. ASALAMUALAIKUM SAYA NK BCA YG SETERUSNYA.ByE2
ParbaJJ
February 22, 2009   09:08 AM PST
 
Tahniah dan terima kasih atas informasi yang dipaparkan dan memberi manfaat kepada pembaca.
SYABAS! Teruskan usaha murni ini.
Name
July 4, 2008   03:24 PM PDT
 
eeee....seramla
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry